
Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) tetap berwaspada apabila melayan kunjungan Kelantan FC pada saingan ke-11 Liga Super di Stadium Darul Aman malam esok.
Ketua jurulatih Sang Kenari Nafuzi Zain berkata, skuadnya tidak sesekali mengambil mudah aksi di laman sendiri walaupun berdepan Kelantan FC yang kini berkedudukan di kelompok bawahan liga.
“Kita tidak boleh anggap mudah berdasarkan kedudukan lawan ketika ini kerana kita juga tahu Kelantan juga memiliki kekuatan mereka sendiri. Oleh itu kita juga perlu lebih berwaspada.
“Mereka juga memiliki pemain berkualiti dan mampu melakukan kejutan dan jika kita pandang mudah dan leka, kita juga boleh dihukum. Jika kita mahukan keputusan yang baik, kita perlu beri aksi terbaik seperti apa dirancangkan dan perlu elak melakukan kesilapan mudah yang boleh menjejaskan peluang apabila beraksi nanti,” katanya.
Nafuzi juga berkata, beliau mahu setiap pemain memanfaatkan setiap peluang bagi meneruskan momentum kemenangan yang Kedah perolehi selepas menewaskan Negeri Sembilan FC pada 28 April lalu.
Sang Kenari yang kini berada pada kedudukan tangga kelima selepas melalui 10 perlawanan, mengumpul 19 mata melalui enam kemenangan, satu seri dan tiga kekalahan.
sumber:hmetro
Kelantan FC pula menghuni tangga ke-13 liga dengan mengumpul empat mata setakat ini.