
KUALA LUMPUR: Selepas isu ‘luar padang’ antara Kelantan FC dan ejen bekas jurulatihnya hangat diperkatakan, kemelut pasukan itu beranjak ke episod seterusnya selepas pemiliknya, Norizam Tukiman memberi bayangan untuk melepaskan pasukan terbabit.
Hasrat itu diluahkan Norizam yang lebih dikenali sebagai Zamsaham yang mengakui dia bersedia untuk melepaskan sepenuhnya saham pasukan itu kepada mana mana pihak yang mampu menjadi ‘bos’ baharu.
Tegasnya, dia sudah berusaha sebaik mungkin bagi melonjakkan nama pasukan ‘The Red Warriors’ namun ada yang belum tercapai selain hutang RM3.8 juta yang belum dilunaskan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA).
“Berbagai usaha saya untuk naikkan kelab TRW dari 2020 sehingga sekarang. Duit saya yang KAFA hutang RM3.8juta belum diterima lagi sesen pun.
“Banyak perancangan saya termasuk progress (kemajuan) fasiliti untuk TRW masih belum tercapai. Saya telah usaha untuk 2.5 tahun.
“Jika rasa saya tak cukup bagus dan tidak layak jadi owner (pemilik) kelab ini, saya terfikir untuk melepaskan sepenuhnya saham pasukan Kelantan FC ini kepada individu yg mampu,” kata Norizam menerusi akaun Facebooknya.
Terdahulu, tidak cukup dengan pendedahan ejen bekas jurulatihnya, Myeongho Jong yang kurang enak terhadap pasukan itu, giliran penyokong setia Kelantan FC pula menzahirkan rasa tidak puas hati dengan prestasi pasukan dalam Liga Super.
Rasa tidak puas hati mungkin wajar terutama selepas melihat prestasi pasukan yang hanya meraih satu kemenangan dan satu seri selepas lapan perlawanan.