Dua Cabaran Getir menanti KDA FC

Loading

ALOR SETAR: Dua aksi perlawanan seterusnya berdepan Selangor FC (SFC) dan Sabah FC merupakan cabaran yang cukup getir yang perlu dilalui Kedah Darul Aman FC (KDA FC) bagi memastikan Sang Kenari kekal dalam kelompok teratas Liga Super pada masa ini.

SFC yang kini berada pada kedudukan tangga kedua Liga Super dengan 25 mata bakal menjadi lawan terdekat Sang Kenari di tempat lawan pada rabu ini manakala Sabah FC yang sedang mengekori rapat KDA FC dengan jumlah 21 mata dan menduduki tangga kelima pula bakal berkunjung ke Alor Setar pada 2 Jun depan.

Kapten pasukan, Manuel Ott berkata tempoh singkat sebelum hari perlawanan menentang SFC pada Rabu ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi meneruskan misi kemenangan Sang Kenari yang menjinakkan Negeri Sembilan FC (NSFC) dengan jaringan 2-1 dan Kelantan FC 5-0 sebelum ini.

“Selangor dan juga Sabah kini berada pada momentum dan kedudukan yang bagus pada musim ini dan ianya satu cabaran yang getir buat kami. Saya jangkakan pertemuan menentang kedua-dua pasukan itu nanti akan menjadi cukup sengit buat kami.

“Namun kami terlebih dahulu perlu memberi fokus terdekat dalam aksi menentang Selangor. Dengan masa yang ada ini kami mahu mempersiapkan perancangan kami dengan sebaik mungkin dan berharap kami mendapat keputusan yang baik seperti hari ini.

“Kemenangan 5-0 yang kami raih pada aksi menetang Kelantan FC ini satu permulaan yang yang cukup positif bagi pasukan dan setiap pemain sedang melakukan tugas dan kerja keras mereka dengan baik,” katanya.

Ott juga berkata, di sebalik mendapat keputusan kemenangan yang diinginkan, beliau mahu setiap pemain terus memperbaiki aspek kelemahan bagi meningkatkan keupayaan yang ada pada pasukan.

sumber:hmetro

“Walaupun ianya satu kemenangan sebagai permulaan yang bagus selepas cuti rehat, saya rasa masih banyak lagi ruang peningkatan terhadap kelemahan semasa yang perlu kami lakukan selepas ini.

“Kami perlu pastikan corak permainan serta persefahaman yang lebih tinggi dapat dipersembahkan pada aksi yang lebih mencabar seterusnya kerana impian kami semestinya mahu terus berada dalam kelompok saingan teratas liga,” katanya.