Kelab gergasi Liga Malaysia (Liga M), Johor Darul Ta’zim (JDT) terus muncul sebagai pilihan untuk mengekalkan status sebagai pasukan terbaik di negara ini apabila dijangka mempertahankan gelaran liga buat kali kesepuluh berturut-turut.
Dengan tiada pasukan yang mampu menyekat penguasaan skuad Harimau Selatan sejak 2014, pasukan itu terus mengganas pada musim lalu apabila ‘menyapu’ bersih semua empat piala ditawarkan iaitu Piala Sultan Haji Ahmad Shah, Piala FA, Liga Super dan PIala Malaysia.
Dengan skuad bimbingan Esteban Solari itu menjadi satu daripada tiga pasukan yang memaksimumkan kekuatan sembilan import , tidak dinafikan JDT kali ini akan terus menjadi pasukan tumpuan dalam kancah bola sepak tempatan.
Reputasi mereka terus gah apabila mereka menghuni tangga pertama ‘Ranking Kekuatan Opta’ bagi pasukan dari Malaysia dengan 71.6 dan rating itu membolehkan mereka menghuni kedudukan ke-584 secara global.
Jika ranking terbabit dijadikan sandaran untuk mencari pasukan mana mampu memberi cabaran kepada JDT bagi musim ini, dua pasukan iaitu Terengganu FC (TFC) dan Selangor FC dilihat memiliki keupayaan untuk menjadikan saingan Liga Super 2023 bertambah menarik.
Ini kerana menurut Opta, dua pasukan ini adalah pasukan kedua dan ketiga terbaik dalam negara di mana skuad ‘Penyu’ memiliki rating 63.6 peratus untuk kedudukan ke-1817 dunia manakala rating ‘The Red Giants’ adalah 59.3 untuk berada pada kedudukan 2855.
TFC dan Selangor juga memperkasa pasukan mereka dengan lapan pemain import bagi musim ini sekali gus memberi bayangan betapa mereka benar benar serius dalam misi merebut kejuaraan pada musim ini.
Negeri Sembilan FC berada pada tempat keempat namun dengan hanya menggunakan tiga pemain import, skuad bimbingan K Devan itu mungkin bergelut untuk memberi saingan kepada pasukan lain yang tampil dengan ‘senjata’ lebih ramai.
KL City FC dan Kedah Darul Aman FC masing-masing berada di tempat kelima dengan keenam dengan rating 58.2 dan 57.0 – mungkin juga dua pasukan ini mampu menjadi pakej kejutan bagi musim 2023.
Sebagai rekod, ranking Kekuatan Opta itu dikemaskini setiap hari Isnin sehingga Jumaat dengan kemaskini terakhir dilakukan kelmarin di mana skala 100 sehingga 0 digunakan bagi menentukan pasukan terbaik dengan pasukan terburuk.
Ranking terbabit menyediakan rating pasukan merentasi ekosistem bola sepak global dan membenarkan perbandingan antara pasukan di negara dan benua berbeza dapat dilakukan membabitkan hampir 13,500 pasukan.
sumber:- BH
Ranking itu memanfaatkan sepenuhnya rating sistem berdasarkan hierarki ‘elo’ bagi menilai kekuatan setiap pasukan di mana penilaian sama turut diadaptasi bagi menentukan ranking rasmi Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).