
Kuala Lumpur: Pengendali Kedah Darul Aman FC, Nafuzi Zain menyifatkan pasukannya tidak sepatutnya tewas di tangan Selangor FC pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam tadi.
Jelas Nafuzi, kekalahan 3-2 itu sebenarnya boleh dielakkan jika barisan pertahanan tidak membuat kesilapan mudah yang akhirnya merugikan pasukan.

Walaupun begitu, beliau tetap memuji persembahan pemain yang berjaya memberi tentangan sengit termasuk mendahului sebanyak dua kali sebelum tewas.
“Saya berbangga dengan persembahan pemain yang bersaing sehingga minit terakhir. Kita sentiasa ada peluang, saya rasa dari segi persembahan kita tak sepatutnya kalah tapi bola sepak biasalah.
“Tetapi kita dihukum saya rasa hasil kesilapan kita sendiri,” katanya pada sidang media selepas aksi itu.
Dua gol Kedah dijaringkan oleh Amirbek Juraboev dan Willian Lira, masing-masing pada minit keenam dan 28.
Manakala tiga gol Selangor pula diraih menerusi sepakan penalti Ayron del Valle di minit 23, Faisal Halim (m-40) dan Noor Al-Rawabdeh (m-78).
“Saya rasa bahagian bertahan itu yang kita perlu pertingkatkan lagi. Kita tengok, walaupun kita bermain dengan baik dan kawal permainan tapi kadang-kala apabila adanya serangan pihak lawan, ia menyebabkan kita kadang rasa akan dibolosi.
“Kat situ kita kena pertingkatkan, dan gol yang Selangor itu kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku,” katanya.