
Aksi berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada suku akhir Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini boleh dianggap ujian paling besar buat Kelantan sepanjang musim ini.
Seandainya berjaya menjinakkan anak buah Hector Bidoglio itu, skuad The Red Warriors (TRW) akan mencipta kejutan besar sebagai pasukan Liga Malaysia (Liga M) pertama mengalahkan juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu musim ini.
Apa pun, atas kertas, tugas amat sukar buat The Red Warriors (TRW) untuk mengatasi pasukan gergasi, JDT itu walaupun anak buah Rezal Zambery Yahya memiliki kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.
Ia berdasarkan reputasi skuad Harimau Selatan yang berada pada tahap tertinggi musim ini dengan mereka bukan sahaja gah di ‘kandang’ sendiri, malah juga memiliki rekod baik di tempat lawan.
Kekuatan skuad bimbingan Bidoglio juga dilihat jauh berbeza dengan Kelantan walaupun skuad dari Pantai Timur itu pernah mengalahkan Harimau Selatan di Kota Bharu dalam aksi kumpulan Piala Malaysia 2018.
Namun, selepas itu Kelantan tewas dalam semua tiga perte3bungan dengan JDT di peringkat kumpulan Piala Malaysia termasuk dua kali pada musim lalu.
Malah, JDT yang dianggap memiliki skuad terbaik musim ini berselera besar untuk mengekalkan rekod tanpa kalah selain ingin menyapu bersih semua trofi dalam saingan domestik 2022.
Mungkin keajaiban perlu diharapkan TRW untuk mengatasi skuad kendalian Bidoglio yang pastinya mengidamkan meraih bekalan selesa sebelum aksi timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim, Jumaat ini.
Sementara itu, satu lagi aksi suku akhir juga membabitkan pertembungan pasukan kerdil dan gergasi di Stadium Negeri, Kuching yang bakal menemukan Kuching City dan Sabah FC.
Sama seperti JDT, skuad Badak yang menamatkan saingan Liga Super musim ini di tangga ketiga akan tampil dengan status pasukan pilihan berbanding Kuching City.
Anak buah Datuk Ong Kim Swee itu bagaimanapun perlu mengelak daripada tampil dengan sikap terlampau yakin walaupun lawan mereka hanya berstatus pasukan Liga Perdana.
Apa yang penting buat Sabah ketika ini perlu memberi fokus lebih 100 peratus untuk mendapatkan bekalan selesa dan memastikan tugas mereka pada aksi kedua nanti lebih mudah.
sumber:- BH
Tidak dinafikan, Sabah yang menampilkan aksi memberansangkan di pentas Liga Super dijangka tidak berdepan masalah untuk melangkah ke separuh akhir dengan syarat mereka tidak dikejutkan Kuching City.