Pemain Perak FC dah dapat gaji

PROSES pembayaran tunggakan gaji pemain Perak FC telah dimulakan dengan pembiayaan hampir RM1.6 juta di bawah pengurusan baharu.

Dalam satu kenyataan kepada pemberita pada Jumaat, XOX Bhd memaklumkan, pembayaran itu dibuat kepada 94 kakitangan dan pemain bola daripada jumlah keseluruhan 168 orang.

Menurutnya, semua pembayaran yang masih berbaki akan dilengkapkan seawalnya minggu hadapan sebaik sahaja selesai semua proses pengesahan dan pengisytiharan hutang-hutang.

Pihak pengurusan baharu Perak FC bersama eksekutif XOX mengucapkan terima kasih kepada peminat dan semua pihak atas sokongan diberikan.

“XOX berharap perkembangan positif ini menjadi permulaan baharu dengan memberi tumpuan kepada pembinaan smeula Perak FC demi mengembalikan semula zaman kegemilangan,” kata kenyataan itu.

Pada Rabu, anak syarikat milik penuh XOX Bhd, XOX Pro Sport Sdn Bhd memeterai perjanjian bersama Impact Media & Communication (IMC) Sdn Bhd bagi pengambilalihan 100 peratus pegangan ekuiti dalam kelab bola sepak Perak FC Sdn Bhd pada harga RM1.

Pembelian Perak FC pada harga RM1 adalah berdasarkan persetujuan bersama selepas mengambil kira kerugian mereka selepas cukai, tunggakan hutang dan kesukaran untuk beroperasi sebagai sebuah kelab bola sepak.

sumber:- SH

Perak FC sebelum ini sudah dua kali dihukum dengan pemotongan mata yang membabitkan jumlah keseluruhan sembilan mata atas kegagalan mereka melunaskan tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan.