Penyokong Malaysia dan Bangladesh mula membanjiri Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini, menjelang aksi kedua-dua pasukan dalam perlawanan terakhir Kumpulan E kelayakan Piala Asia 2023, malam ini.

Berdasarkan tinjauan, penyokong terbabit hanya dilihat mula memasuki perkarangan Stadium Nasional kira-kira jam 5 petang. Kelewatan ini mungkin disebabkan perlawanan berlangsung pada hari bekerja.

Penyokong kedua-dua pasukan dilihat saling tidak mahu mengalah dan menaruh keyakinan terhadap pasukan masing-masing untuk meraih kemenangan.

Penyokong skuad Harimau Malaya Hafiz Shamsudin berkata, dia percaya pasukan Malaysia akan meraih kemenangan ke atas Bangladesh.

“Saya yakin dengan prestasi semasa skuad Harimau Malaya boleh menang sekurang-kurangnya 2-0,” katanya.

Sementara itu, penyokong Bangladesh, Muhammad Munna pula berkata bahawa pasukan negaranya akan menang 2-0, walaupun skuad itu sudah terkeluar dari persaingan merebut tiket ke pusingan akhir Piala Asia tahun depan.

Saya datang ke stadium jam 5 petang untuk menyokong pasukan Bangladesh. Saya yakin Bangladesh menang 2-0,” katanya.

sumber:- BH

Lebih 50,000 penyokong dijangka membanjiri Stadium Nasional, malam ini dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan sebanyak 44,340 tiket perlawanan itu sudah terjual sehingga jam 6 petang tadi.