Reaksi Nafuzi disebalik Kekalahan Sebenar KDA FC

Loading

ALOR SETAR: Pengendali Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain kecewa apabila Sang Kenari gagal bangkit selepas tewas 2-3 kepada KL City di Stadium Darul Aman malam tadi.

Menurutnya, keyakinan dan kesungguhan pemain tidak berada pada tahap yang sepatutnya hingga memaksa Sang Kenari bermain dalam tekanan dengan pemain pelawat lebih kemas di bahagian benteng serta melakukan serangan balas yang cukup berkesan.

“Menjaringkan gol begitu sukar dan melepaskan gol semudah itu saja, dan kita sukar bermain dengan KL City pada perlawanan ini adalah kerana semangat yang KL City tunjukkan adalah lebih baik daripada kita.

“Kita bolos gol terlalu awal dan kita bermain dalam tekanan dengan barisan pertahanan melakukan kesilapan hingga KL City dapat menghasilkan gol di awal perlawanan.

“Kita tidak cukup bagus pada malam ini walaupun kita mencuba untuk mendapatkan gol, tetapi dari segi usaha, keberanian dan tahap keyakinan, saya lihat kami agak kurang di situ,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Dalam perlawanan itu, Paulo Josue meletakkan pelawat di depan seawal minit ke-10 sebelum Kedah bangkit meledak dua gol menerusi Jonathan Balotelli (m24) dan pemain pertahanan Bojan Ciger (m29).

Bagaimanapun, Romel Morales menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-47 sebelum pemain gantian Herlison Caion memastikan KL City membawa pulang tiga mata dengan menjaringkan gol kemenangan (m74).

Nafuzi turut kecewa dan mengakui skuadnya seolah mengulangi episod yang sama apabila dibolosi dengan mudah pada awal babak pertama dan kedua seperti aksi menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Bila tewas kepada JDT pada perlawanan yang lalu, kita tahu yang ia bukan pengakhiran untuk semua perlawanan dan pemain sedar mereka perlu bangkit untuk perlawanan malam ini.

“Namun, tahap usaha, kekuatan dan kesungguhan tambahan yang saya harapkan juga agak kurang dan pemain dilihat masih bermain dalam tekanan.

“Selain itu, dari segi komunikasi, persefahaman, bantuan sewaktu bermain dari sudut satu pasukan juga perlu ditingkatkan,” katanya.