
Kuantan: Tugas getir bakal dihadapi Sri Pahang FC apabila berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok.
Ia diakui pengendali Tok Gajah, Fandi Ahmad yang menjangkakan tentangan sengit daripada Harimau Selatan yang memiliki barisan pemain padu di setiap posisi.
“Oleh itu, kita harus bijak memanfaatkan segala peluang yang ada dan pada masa sama, tidak mempersia-siakan peluang yang ada. Bagi saya cabaran besar bakal dihadapi pemain kerana JDT memiliki barisan pemain yang mantap di bahagian serangan, tengah dan pertahanan.
“Berdasarkan perancangan, ada perubahan pada perlawanan esok dan diharapkan segalanya baik,” kata legenda bola sepak Singapura itu.
Pada perlawanan esok, tiga pemain iaitu Izham Tarmizi Roslan, Syazwan Andik Ishak dan Azrif Nasrulhaq tidak beraksi kerana mereka menyertai skuad Tok Gajah secara pinjaman daripada JDT selama semusim.
Sebagai persediaan itu menyaksikan penjaga gol kedua, Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin beraksi ketika berdepan Penang FC, Sabtu lalu dan Fandi bersyukur Zarif Irfan beraksi dengan baik sekali gus mampu meningkatkan motivasinya apabila berdepan Harimau Selatan.
sumber:hmetro
“Berdepan JDT, saya harap pemain dapat mempamerkan semangat juang tinggi dan bermain bermati-matian untuk mendapat keputusan positif buat pasukan,” katanya.
Berdasarkan rekod, Sri Pahang dan JDT belum lagi tewas selepas mengharungi 11 perlawanan Liga Super.